Permintaan untuk penggunaan cermin gelap bagi kenderaan persendirian di Malaysia adalah amat tinggi. Namun begitu, pengguna kenderaan masih tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan.
Peraturan penggunaan cermin gelap berdasarkan peratus ketelusan cahaya (VLT) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melibatkan pindaan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 telah dikuatkuasakan bermula 8 Mei 2019.
Penguatkuasaan peraturan ini amat melegakan pengguna kenderaan persendirian disebabkan penggunaan cermin gelap amat membantu penumpang kenderaan bagi mengelak haba panas dan silau yang masuk ke dalam kenderaan, di samping lebih mengutamakan keselamatan pengguna.
Informasi berkaitan peratus ketelusan cahaya (VLT) cermin gelap, syarat permohonan cermin gelap, dokumen-dokumen berkaitan boleh anda dapati di sini.
Peratus ketelusan cahaya (VLT) bagi cermin gelap
Penggunaan cermin gelap mengikut spesifikasi kadar ketelusan cahaya (VLT) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kemaskini pada Mei 2019 adalah seperti berikut :
- Cermin depan : 70% VLT
- Cermin sisi bahagian pemandu : 50% VLT
- Cermin sisi bahagian penumpang : Tiada had peratus VLT – dengan syarat kenderaan mempunyai cermin sisi pandang belakang
- Cermin belakang : Tiada had peratus VLT – dengan syarat kenderaan mempunyai cermin sisi pandang belakang
Syarat permohonan untuk cermin gelap
- Pengguna kenderaan tidak perlu mengemukakan permohonan penggunaan cermin gelap sekiranya penggunaan cermin gelap adalah mengikut spesifikasi kadar ketelusan cahaya (VLT) yang dikeluarkan oleh JPJ.
- Pengguna kenderaan yang ingin mendapatkan cermin gelap berspesifikasi kadar ketelusan cahaya (VLT) yang lebih rendah di bahagian cermin depan dan cermin sisi di bahagian pemandu perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
- Permohonan cermin gelap berspesifikasi VLT lebih rendah adalah berdasarkan keperluan kesihatan dan keselamatan sahaja.
- Permohonan baharu, pembaharuan dan pertukaran bagi setiap kenderaan hendaklah dibuat secara berasingan dan ditandatangani oleh pemohon.
- Pemohon dan pemilik kenderaan perlu bebas daripada mempunyai apa-apa kes yang belum selesai dengan JPJ dan PDRM berhubung dengan apa-apa pelanggaran Akta APJ, ALPKP, APAD dan lain-lain Akta yang berkaitan.
Syarat tambahan bagi permohonan pertukaran
- Syarat bagi permohonan pertukaran kelulusan cermin gelap adalah pemilik kenderaan motor yang membuat tukar ganti (interchange) nombor pendaftaran kenderaan motor atau pemilik kenderaan motor membuat penukaran kepada mana-mana kenderaan motor yang dimilikinya.
- semasa membuat permohonan pertukaran.
- Tempoh sah laku kelulusan terdahulu adalah tidak kurang daripada 6 bulan dari tamat tempoh kelulusan. Sekiranya tempoh sah laku kelulusan terdahulu melebihi 6 bulan, pemohon perlu membuat permohonan baru.
- Sekiranya permohonan pertukaran diluluskan, tempoh tamat sah kelulusan adalah mengikut tempoh tamat kelulusan terdahulu.
Dokumen yang diperlukan untuk permohonan cermin gelap
- Bagi permohonan baru, pembaharuan dan pertukaran, dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut :
-
- Borang CG1 (borang boleh didapati di laman web JPJ).
- Salinan kad pengenalan.
- Salinan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).
- Salinan Sijil Kelulusan Cermin Gelap (bagi permohonan pembaharuan dan pertukaran).
- Permohonan penggunaan cermin gelap hanya dibenarkan kepada kenderaan yang didaftar atas nama pemohon sahaja. Jika kenderaan bukan hak milik pemohon, dokumen / surat hubungan dengan pemilik kenderaan perlu dikemukakan (contoh : sijil lahir / sijil perkahwinan dan lain-lain yang berkaitan).
- Bagi permohonan berkaitan keperluan kesihatan, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
-
- Bagi kenderaan milikan persendirian individu, pemohon perlu mengemukakan salinan laporan perubatan terkini oleh Pakar Perubatan dari Hospital Kerajaan atau Pakar Perubatan Hospital Swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan menyatakan jenis atau nama penyakit secara spesifik.
- Bagi kenderaan persendirian syarikat, pemohon perlu mengemukakan borang daftar Syarikat 24 dan Form 49 yang disahkan oleh Setiausaha Syarikat yang berdaftar.
- Bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan untuk kenderaan milikan persendirian individu, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
-
- Dokumen sokongan seperti laporan polis atau lain-lain dokumen sokongan yang berkaitan risiko keselamatan yang di hadapi
- Bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan untuk kenderaan milikan persendirian syarikat, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
-
- Borang daftar Syarikat 24 dan Form 49 yang disahkan oleh Setiausaha Syarikat yang berdaftar
- Bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan untuk kenderaan milikan atau sewaan Kerajaan, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
-
- Surat permohonan daripada Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah Jabatan
- Bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan untuk kenderaan milikan kedutaan atau kakitangan kedutaan, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
-
- Surat permohonan daripada kedutaan.
- Bagi Permohonan Pertukaran, pemohon dikehendaki mengemukakan Sijil Perakuan kelulusan kenderaan terdahulu.
Bayaran permohonan baru, pembaharuan dan pertukaran
- Tiada bayaran dikenakan untuk Fi Permohonan dan Fi Perakuan untuk permohonan baharu, pembaharuan dan pertukaran bagi permohonan berkaitan keperluan kesihatan.
- Bayaran RM50.00 untuk Fi Permohonan untuk permohonan baharu, pembaharuan dan pertukaran bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan.
- Bagi Kenderaan Persendirian Individu / Persendirian Syarikat yang ingin membuat permohonan penggunaan cermin gelap untuk keperluan keselamatan, bayaran RM5,000.00 untuk Fi Perakuan untuk permohonan baharu dan pembaharuan dikenakan.
- Bagi Kenderaan Persendirian Individu Kedutaan / Milikan Kedutaan yang ingin membuat permohonan penggunaan cermin gelap untuk keperluan keselamatan, bayaran RM5,000.00 untuk Fi Perakuan untuk permohonan baharu dan pembaharuan dikenakan.
- Bagi Kenderaan Milikan Kerajaan yang ingin membuat permohonan penggunaan cermin gelap untuk keperluan keselamatan, tiada bayaran dikenakan untuk Fi Perakuan untuk permohonan baharu, pembaharuan dan pertukaran.
- Bayaran Fi Permohonan perlu dibuat setelah membuat permohonan, manakala bayaran Fi Perakuan perlu dibuat setelah mendapat surat makluman keputusan permohonan kelulusan penggunaan cermin gelap. Bayaran tidak akan dipulangkan sekiranya pemohon membuat pembatalan permohonan atau tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan.
- Bayaran Fi Permohonan dan Fi Perakuan boleh dijelaskan di mana-mana pejabat JPJ Negeri / Cawangan atau secara atas talian di Portal Awam JPJ.
Tempoh sah laku permohonan cermin gelap
- Tempoh sah laku permohonan berkaitan keperluan kesihatan adalah selama 2 tahun.
- Tempoh sah laku permohonan berkaitan keperluan keselamatan bagi Kenderaan Milikan Kerajaan adalah selama 5 tahun.
- Tempoh sah laku permohonan berkaitan keperluan keselamatan bagi Kenderaan Persendirian Individu / Persendirian Syarikat dan Kenderaan Persendirian Individu Kedutaan / Milikan Kedutaan adalah selama 2 tahun.
- Kelulusan yang telah tamat tempoh sah laku perlu membuat permohonan baru tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh kelulusan dengan mengemukakan dokumen-dokumen seperti yang telah dinyatakan dan bayaran fi dijelaskan.
Keputusan permohonan cermin gelap
- Surat keputusan akan dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasa, Ibu Pejabat JPJ kepada pemohon secara pos berdaftar.
- Sijil Perakuan kelulusan cermin gelap akan diserahkan kepada pemohon secara pos berdaftar atau pemohon boleh hadir sendiri ke Bahagian Penguatkuasa, Ibu Pejabat JPJ untuk penyerahan sijil.
Kadar saman yang dikenakan
Menurut JPJ, bagi mana-mana pemilik kenderaan yang gagal untuk mematuhi peraturan cermin gelap boleh dikenakan hukuman denda tidak melebih RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan, dan dalam hal sabitan kali kedua atau kali kemudian, didenda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.
PENAFIAN : Maklumat yang terdapat pada artikel ini adalah kemaskini yang terdapat pada Syarat-Syarat dan Panduan Permohonan Penggunaan Cermin Gelap yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 31 Disember 2021 dan penguatkuasaannya pada 1 Januari 2022. Sila rujuk laman web JPJ untuk info penuh.